Tipu Daya Iblis Zaman Mutakhir - sambungan

Cara-Cara Iblis Menyesatkan

Iblis menyesatkan manusia melalui beberapa kaedah yang licik sehingga kita tidak menyedarinya. Penyesatan ini kadangkala mengambil masa yang lama, sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya kita menyangkakan apa yang kita fikirkan adalah benar dan bukannya dari syaitan; antaranya:

Pertama : Memberi nasihat, dan tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan.

Surah Al-A’raaf [7] : 21

Dan ia bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa) dengan berkata): "Sesungguhnya aku (syaitan) adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".

Sekiranya datang iblis kepada kita secara terang-terangan memberi nasihat, mahukah kita mengikutinya? Tentu tidak. Jadi secara halus iblis itu membisikkan tanpa kita sedari, tapi kita boleh mengenalinya; iaitu dengan ilmu.

Antara contoh nasihatnya (iblis) pada zaman ini;

(a) “Tidak solat pun tak mengapa, selagi kita mengucap kalimah tauhid pasti masuk syurga,” dan yang semaksud dengannya. Mengikut Imam Syafie dan para ulama salaf lainnya, jika orang yang berkata seperti itu beri'tikad bahawa solat itu tidak wajib, maka hukumnya kufur.

Al Baqarah [2] : 80

"Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"

Pernahkah kita membuat janji dengan Allah yang Maha Suci, bahawa kita akan masuk syurga? Atau kita cuma mendengar dari perkataan orang lain atau agak-agak sahaja?

(b) “Masa muda ialah masa untuk enjoy, dah tua nanti baru bertaubat, kerana taubat waktu muda-muda, nanti buat dosa balik.”

(c) “Jangan sebut pasal mati, tak elok, nanti mulut masin” (yakni meyakini kata-kata seseorang yang boleh menyebabkan kemudaratan dan secara tidak langsung mengingkari takdir).

Itu adalah sebahagian contoh dari nasihat dan hasutan iblis kepada kita.

Kedua : Menjadikan keburukan nampak baik dan sebaliknya.

Dalam Surah Al Hijr [15] : 39, Allah yang Maha Tinggi berfirman, Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya"

Antara contoh-contohnya di zaman ini adalah seperti ada orang yang berkata,

(a) “Walaupun aku tidak menutup aurat, tapi hati aku baik dan mengerjakan solat,” dan yang semaksud dengannya.

Sebenarnya perkara ini melibatkan orang Islam yang lain. Terutama kanak-kanak, mereka belajar dari orang dewasa dan mereka menyangkakan tidak menutup aurat itu adalah ‘perkara yang dibolehkan’ dalam agama.

(b) “Kalau kita solat tak khusyuk tak guna jugak, jadi tak perlu sembahyang kerana kita perlu belajar untuk khusyuk dahulu.”

Al Baqarah [2] : 110

"Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala nya pada sisi Allah. Sesungguhnya Alah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan."

Solat itu wajib, dan selepas itu bertawakkal lah;

Surah Hud [11] : 123

"Dan kepunyaan Allah lah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepadaNya lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, maka sembahlah Dia, dan bertawakkal lah kepadaNya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan."

Ketiga : Menghalangi jalan yang lurus (jalan kebenaran dan keselamatan dunia dan akhirat).

Berdasarkan Surah Al-A’raaf [7] : 16

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Contoh-contoh di zaman ini dapat kita perhatikan menerusi perkataan syaitan-syaitan dari jenis manusia samada dari orang bukan Islam mahupun orang yang menggelar dirinya ‘orang Islam’.

Surah Al Baqarah [2] : 8

"Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman."

Perkataan orang munafik seperti ini lebih berbahaya kerana perkataan mereka lebih mudah diikuti seperti di dalam;

Surah Al Baqarah [2] : 11

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".

Surah Al Baqarah [2] :14

"Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: "Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".

Antara kesesatan yang mereka lakukan dalam perkataan dan perbuatan mereka (nampak seolah-olah benar tetapi menyalahi Al Quran) seperti;

(a) “Semua manusia mempunyai hak masing-masing, jadi manusia bebas mengamalkan cara hidup mereka.”

Antaranya orang Islam yang ingin murtad tidak perlu dihukum, lelaki dan wanita bebas berkahwin dengan pasangan sejenis mereka, orang yang berkahwin dengan orang Islam tidak perlu menukar agama mereka, pembahagian harta (faraid) perlu sama antara laki dan wanita dan banyak lagi kesesatan mereka.

(b) “Semua agama menuju pada keamanan dan kebenaran, jadi semua agama adalah benar.”

Kata-kata mereka secara tidak sedar sebenarnya memperlekehkan Nabi Muhammad saw yang berusaha membebaskan manusia dari penyembahan syaitan. Orang seperti ini, kita perlu katakan kepada mereka,

“Kami tidak mengatakan agama lain itu salah, kami cuma mengatakan Allah yang Maha Agung itu tunggal dan wajib kita menyembahnya. Allah yang Maha Mencipta segala sesuatu dari awal kehidupan sehingga kehidupan akan datang dan akhirnya; segala sesuatu dalam takdir-Nya.

Al Quran pula diturunkan supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan wajib beriman dan beramal dengannya. Nabi Muhammad saw itu pesuruhNya untuk mengajar umat manusia tentang dunia dan akhirat; juga memperjelaskannya berdasarkan wahyu, iaitu Al Quran.”

Al-Ikhlas [112] : 1-4

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya"

(c) “Penafsiran orang dahulu (merujuk kepada ulama salaf) terhadap Al Quran dan fekah tidak relevan pada masa kini, kita hidup di zaman moden.”

Sebenarnya kita tidak perlu kebaratan untuk menjadi moden. Perkataan merekalah yang tidak relevan, contohnya apabila antara ahli keluarga mereka mati, mereka juga mahu memandikan dan mengafankannya. Kenapa tidak ikut cara moden?

Posted by





SMK Agama Matang on 12:21 AM. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for �Tipu Daya Iblis Zaman Mutakhir - sambungan�

Leave comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Kalendar Hijrah

Lagu Badar

2010 Matang Gemilang. All Rights Reserved. - Designed by Wandy Infinity