Adakah Aku Bangau...?
feature, Tips Cemerlang 4:27 AM
Sejak kecil saya meminati lagu kanak-kanak yang saya pelajari dari sekolah, teman-teman dan daripada bahan-bahan bacaan. Ini termasuklah lagu kanak-kanak tradisi orang Melayu kita, mahu pun "nursery rhymes" dan lagu kanak-kanak dalam bahasa Inggeris. Lagu kanak-kanak yang paling saya gemari (mungkin hingga masa kini) ialah lagu "Bangau Oh Bangau".
Masih ingatkah irama dan lirik lagu ini? Jika ada yang terlupa, saya perturunkan sebahagian daripada lirik lagu tersebut seperti berikut:-
Bangau, oh bangau,
Kenapa engkau kurus,
Macam mana aku tak kurus,
Ikan tak mahu timbul.
Ikan, oh ikan,
Kenapa kau tak timbul,
Macam mana aku tak timbul,
Rumput panjang sangat.
Rumput, oh rumput,
Kenapa panjang sangat,
Macam mana aku tak panjang
Kerbau tak makan aku.
Kerbau, oh kerbau,
Kenapa tak makan rumput,
Macam mana aku nak makan,
Perut aku sakit.
Perut, oh perut,
Kenapa engkau sakit,
Macam mana aku tak sakit,
Makan nasi mentah.
Jika kita amat-amati lirik lagu di atas, keseluruhan lagu tersebut membawa mesej yang
menggambarkan sikap dan mentaliti orang-orang Melayu kita yang mungkin menarik
perhatian untuk dibahaskan. Dalam kalangan masyarakat Melayu kita, terdapat sikap sering
menuduh orang lain sebagai punca kepada sesuatu kesalahan yang kita lakukan atau sesuatu kejadian yang tidak menyenangkan berlaku kepada diri kita. Tabiat suka menuding jari ke muka orang lain apabila melakukan kesalahan atau tertimpa kejadian yang tidak diingini adalah merupakan jalan keluar yang kononnya paling mudah bagi kita untuk melepaskan diri daripada menerima tanggung jawab terhadap perbuatan kita atau kesalahan yang kita lakukan. Budaya ini lebih dikenali dalam bahasa Inggerisnya sebagai "blame culture" atau "budaya menyalahkan orang lain".
Sikap negatif ini perlu kita hindarkan jika kita mahu memperbaiki dan mempertingkatkan kemajuan diri kita. Kita perlu mengalihkan perhatian kita kepada membuat analisis diri atau "self analysis" daripada terus memfokuskan perhatian kita kepada kesalahan orang lain. Setelah mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri kita sendiri, maka setentunya kita dapat membuat tindakan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan kita supaya kita akan lebih maju dan berjaya di masa akan datang. Kan ini lebih bermanfaat daripada terus mengaibkan karakter dan personaliti orang lain. Janganlah kita terus khayal dibuaikan dengan dendangan budaya "Bangau Oh Bangau" itu tadi.
SMK Agama Matang on 4:27 AM. Filed under feature, Tips Cemerlang . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0