Matlamat Hidup Insan


Saban hari saya melihat masyarakat di sekeliling saya mempunyai banyak masalah sosial, masalah keperibadian dan masalah jiwa serta agama manakala saya pula berada di pejabat sibuk menyelesaikan masalah teknikal di negara orang lain. Jadi terdetik rasa bersalah.

" Kenapa saya tidak boleh melakukan sesuatu untuk merubah? "

Pernah saya terfikir untuk menjadi artis kerana saya rasa saya boleh menyanyi. Dengan menyanyi itu saya boleh mendekati masyarakat untuk menterbalikkan cara pemikiran mereka tetapi saya tidak berani untuk melangkah ke mana-mana ujibakat. Lalu saya memilih untuk menulis saja memandangkan penulisan bukan bidang saya maka saya menulis sekadarnya dengan harapan orang memahami maksud penulisan saya.

Itu objektif penulisan saya ini iaitu menyampaikan rasa hati. Semua benda mempunyai tujuan kewujudannya hatta seekor semut sekalipun. Apatah lagi perkara paling besar untuk setiap manusia iaitu kehidupan. Objektif hidup kita dan objektif tulisan ini bukan secara kebetulan adalah sama dan serupa.

Oleh kerana kehidupan kita bukan kehendak kita, bukan pilihan kita, bukan perancangan kita tetapi perancangan Tuhan maka objektif kehidupan kita ditentukan bukan oleh kita sendiri tetapi ditentukan oleh penciptanya iaitu Tuhan. Namun, tidak sukar untuk mengetahuinya kerana Tuhan telah meletakkan objektifnya di dalam diri kita hanya tinggal untuk diri kita mencarinya.

Objektif hidupsetiap manusia adalah sama. Matlamatnya bukan untuk beribadat, bukan untuk Tuhan, bukan untuk pahala, bukan untuk syurga tetapi untuk bergembira. Saya tahu saya kedengaran menyalahi agama namun jangan cepat menghukum saya kerana saya pasti akan terangkan semua perkara ini.

Ya, Tuhan mencipta seluruh penciptaannya agar manusia itu BERGEMBIRA.

Seorang muslim berkata kepada saya ;

" Hidup dan mati muslim adalah untuk Allah. Bukan untuk bergembira berseronok sampai lalai daripada menunaikan ibadat. "

Begitulah kata ‘sahabat' saya itu.

" Oh, solat itu tidak menggembirakan rupanya? "

Dahulu kita sering diajar oleh para motivator untuk memiliki cita-cita, iaitu objektif hidup. Terdapat pelbagai cita-cita di dalam setiap fikiran berdasarkan latar belakang masing-masing. Kebanyakan pelajar, cita-citanya yang wujud dalam bentuk pekerjaan seperti doktor, guru, perdana menteri kerana seringkali cita-cita dikaitkan dengan profesion. Orang dewasa pula, cita-citanya mungkin untuk memiliki tiga buah banglo, menunaikan haji, memiliki isteri atau suami dan memiliki pernigaan menguntungkan.

Saya rasa selepas ini saya perlu ke rumah orang-orang tua pula untuk bertanyakan cita-cita mereka. Pasti menarik. Walaupun berbeza semua cita-cita itu sebenarnya ialah jambatan-jambatan kepada satu perkara yang sama. Ya, kebahagiaan. Lebih tepat lagi, kebahagiaan itu memberikan rasa apa? Rasa gembira.

Berbalik kepada perkara yang 'sahabat' saya katakan tadi.

" Kalau hidup dan mati awak kerana Allah, tidakkah ini membenarkan saya bahawa objektif hidup ini ditentukan Allah? Kalau objektif ini ditentukan oleh Allah, bermakna Allah bukan objektif hidup kita. Tak cukup rasional? Kalau objektif hidup manusia untuk Allah, tidakkah itu bermakna Allah berkehendakkan sesuatu daripada manusia? Bukankah itu sudah menyalahi sifat-sifatNya? "

Maka lebih tepat untuk kita katakan hidup ini untuk beribadah. Diciptakan manusia itu untuk beribadah. Di sini perkataan ‘ibadah' itu pula mempunyai definisi yang luas. Bukan semata-mata ibadah khusus tetapi setiap perbuatan atau amalan muslim adalah ibadah.

" Jadi sekiranya ibadah itu luas pengertiannya maka di mana hadnya? "

" Sudah tentu perbuatan jahat atau mungkar bukan lagi ibadah, kan? "

" Atau bolehkah kalau saya katakan, semua perkara yang muslim lakukan untuk menyenangkan hatinya (bergembira) dan juga menyenangkan hati (menggembirakan) muslim-muslim yang lain adalah ibadah? "

" Makan untuk menyenangkan perut sendiri dan mendapatkan tenaga untuk membantu muslim lain adalah ibadah. Berkerja untuk menyara diri dan keluarga dan memberi tenaga kerja untuk muslim lain adalah ibadah. Solat untuk menenangkan hati sendiri agar dapat menenangkan pula hati muslim lain semasa muamalat harian adalah ibadah. Nahi mungkar (melarang perkara yang menyakiti orang lain), amar makruf (menggembirakan orang dan menyuruh orang menggembirakan orang lain) adalah ibadah. Bukankah ibadah-badah ini yang akan menjadikan bumi ini syurga yang dipenuhi senyuman, gelak ketawa, ketenangan, persahabatan, keharmonian, kasih sayang, cinta dan ruh-ruh syurgawi? "

Inilah pendapat saya. Tuhan mahukan sesuatu yang sesuai dengan penciptaanNya yang cantik, indah dan sempurna.

Maka ibadah itu bukan objektif tetapi ianya adalah cara-cara untuk mencapai objektif akhir iaitu kegembiraan atau kebahagiaan kepada semua.

Ada juga muslim berkata dengan penuh semangat ;

" Hidup saya untuk berjihad di jalan Allah, untuk menghapuskan semua kafir laknatullah. "

" Apakah yang lebih buruk daripada seorang muslim munafik, hidup dengan nafsu amarah dan minda tertutup berjaya menakluk sebuah negara bukan Islam yang hidup aman damai dengan nilai-nilai kemanusiaan, sivik, moral dan keilmuan yang tinggi? "

" Saudara, jihadlah untuk diri sendiri dahulu, dan ketahuilah tujuan jihad untuk menyebarkan rahmat, bukan agama. "

" Saya yakin pasti ada yang terperanjat. Bukankah dakwah Rasulullah menyebarkan agama? Agama Islam? ".

Dakwah Rasulullah menyebarkan rahmat, keamanan, ketamadunan dan ilmu yang tinggi, bukan Islam. Kerana itu di Madinah ketika di bawah pemerintah Rasulullah masih ada kaum Yahudi, masih ada penganut Kristian, ahli-ahli kitab dan agama-agama lain.

Fahami maksud saya, dakwah kita (muslim) untuk menyebarkan objektif kehidupan tuntutan Tuhan iaitu Dia mahukan makhluk-makhlukNya hidup gembira (rahmatan lil ‘alamiin). Dan untuk tujuan itu, kita mencadangkan caraNya yang diredhai Allah yakni Islam. Rasulullah tidak pernah memaksa penduduk bumi memeluk Islamkerana baginda menghormati hak setiap individu, supaya tindakan yang timbul itu datang daripada hati dan bukannya bukan paksaan.

" Tiada paksaan di dalam beragama, bukan? "

" Namun, sekiranya seorang penduduk Madinah mencuri, Rasulullah akan menghukumnya tanpa mengira agama tetapi kerana perbuatan mencuri itu adalah kezaliman. Tidakkah ini jelas? "

Sebarkan kegembiraan dan sesuaikan dengan kepercayaan saudara, berhujahlah, cadanglah cara-caranya iaitu Islam. Benar, Islam itu adalah cara atau prinsip bukan tujuan hidup.

" Kenapa perlu ada agama? Untuk apa Islam ini? "

Sudah jelas kalau saya mahu hidup gembira, jiran saya juga mahukan kegembiraan, keluarga saya, rakyat-rakyat di negara saya, malah semua mahu gembira. Tidak pernah ada manusia mahu hidup yang berduka.

Kalaulah satu kegembiraan itu umpama seketul emas, adakah anda ;

A. sanggup untuk membahagikannya atau;
B. mengambil ketul emas itu untuk awak seorang?

Adanya agama, atau mana-mana agama adalah untuk memastikan semua manusia memilih jawapan A. Tuhan mahu kita membahagi-bahagikannya kerana Tuhan tidak pilih kasih, Tuhan maha adil, maka ya, kita kena bahagi-bahagikan kegembiraan kita dengan semua kerana itulah Tuhan memberikan agama iaitu cara-cara atau lunas-lunas untuk hidup dengan betul.

Akan tetapi, dengan hukum feqahnya, tasawwufnya, tauhidnya, hukum syariahnya, malah dengan perbahasan-perbahasan yang kompleks itu agama Islam seringkali tampak menyusahkan dan bukannya lagi menggembirakan di mata anak muda sekarang.

Semakin berkembang penglibatan anda di dalam muamalat semakin berkembanglah ke'kompleks'an agama itu untuk anda kerana anda perlu menganggarkan kegembiraan ramai manusia yang lain-lain kehendak hatinya.

Rumusan di sini, laraskan kembali tujuan hidup. Hidup ini untuk bergembira. Dunia ini diciptakan sebegini indah untuk anda menikmatinya. Maka, gembirakan diri anda. Pada masa yang sama jangan biarkan kehendak anda untuk bergembira meragut kegembiraan orang lain yang mempunyai perasaan sama seperti anda. Maka cubalah hidup berdisiplin dengan disiplin yang menggembirakan iaitu Islam.

Akhlak paling mulia seorang manusia ialah, kegembiraan saudara-saudaranya diletakkan di hadapan kegembiraan sendiri. Aajaibnya seorang hamba Allah yang beriman ini, dengan menyaksikan orang lain bergembira, dia akan gembira. Andai dia mengetahui saudaranya berduka, dia akan lebih berduka dan berusaha untuk menghapuskan duka saudaranya itu walaupun dia terpaksa bergadai nyawa. Oleh kerana hatinya amat dekat dengan Tuhan, dalam perjuangan membela saudaranya itu, dia sebenarnya sedang bergembira dengan kegembiraan yang sukar difahami oleh orang kebanyakan.

Orang Islam pasti tahu siapa yang saya maksudkan. Ya, Rasulullah pejuang keadilan. Baginda sanggup bergadai nyawa untuk menghapuskan kebatilan. Baginda jelas sekali mahu melihat semua manusia tidak kira siapa bahagia dan gembira. Meskipun perjuangan baginda dipenuhi ranjau duka, Rasulullah adalah insan yang paling banyak dan paling manis senyumannya.

Posted by





SMK Agama Matang on 11:14 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for �Matlamat Hidup Insan�

Leave comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Kalendar Hijrah

Lagu Badar

2010 Matang Gemilang. All Rights Reserved. - Designed by Wandy Infinity