Usah Sia-siakan 10 Malam Terakhir
Agama, feature 8:10 PM
Pada waktu ini kita sedang memasuki sesi terakhir bulan Ramadhan, iaitu 10 malam terakhir daripada bulan yang mulia di sisi Islam. Sesungguhnya, masa hampir singkat dan sedar ataupun tidak kita menjangkau ke fasa penutup atau fasa 10 malam terakhir. Pastinya ada di antara kita yang berazam untuk meningkatkan amal ibadah di bulan ini. Alhamdulillah. Mungkin kami boleh mencadangkan satu amalan yang boleh kita amalkan selalu sebagai cara untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Amalan ini dinamakan doa.
Surah Al-Baqarah yang bermula dari ayat 183 – 187 telah menjadi dalil kewajiban puasa kepada umat Islam. Namun demikian, Allah swt menyelitkan perkara berkaitan amalan doa pada ayat186. Firman Allah swt:
“Apabila hamba-hambaKu bertanya engkau tentang Zat-Ku, maka (katakanlah) Aku amat hampir, sentiasa memperkenankan permohonan orang yang memohon ketika memohon kepadaKu. Oleh kerana itu, hendaklah mereka berkenan memohon kepadaKu.” (Surah All-Baqarah: 186)
Ayat yang terselit di celah-celah ayat berkaitan Ramadan ini, seolah-olah menjadi petanda supaya kita memperbanyakkan doa di bulan yang tersangat mulia ini. Satu bulan yang mana di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Banyakkan doa dan istighfar kepada Allah. Beristighfarlah dengan Sayyidul Istighfar iaitu Penghulu Istighfar, kerana ia adalah sebaik-baik istighfar. InsyaAllah.
Sudah menjadi lumrah manusia barangkali. Kebanyakkannya akan cuma menghargai pada perkara yang sudah tiada. Seseorang buta akan rindu saat-saat dia masih boleh melihat atau menginginkan untuk melihat. Hilang handphone pun kita akan rasa ralat diatas kecuaian kita, apatah lagi orang yang kehilangan saudara mara terdekat. Sedih sebenarnya.
Namun pernahkah kita bersyukur terhadap apa nikmat berpuasa yang Allah swt kurniakan kepada kita. Nikmat ini lain pula kesnya daripada perkara-perkara di atas. Jika kita bukan ditakdirkan lahir sebagai Islam, belum tentu kita akan rasa terpanggil untuk berminat dengan ad-din yang paling hebat ini, apatah lagi seorang yang dilahirkan Islam dan kemudiannya menjadi kufur sudah tentu dia tidak akan merindui atau rasa kehilangan terhadap agamanya yang asal. Tambahan pula untuk bersedih kerana kehilangannya atau tangisan spiritual.
Sebenarnya kita telah melepasi fasa kerahmatan (pada 10malam pertama Ramadhan) & fasa keampuanan (pada 10malam kedua Ramadhan). Kemungkinan ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk diri kita mengabdikan diri di bulan mulia ini. Semoga kita akan terus beristiqamah pada bulan-bulan yang lain bukan semata-mata di bulan ini sahaja.
”Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehigga kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan kami uji perihal kamu”. (Muhammad 47:31).
Sepatutnya kita tidak harus terhenti setakat rasa bersyukur dan seronok, malah sepatutnya kita rasa bertanggungjawab dan bertanya diri sendiri. Apakah yang patut kita lakukan untuk betul-betul layak dikurniakan nikmat Islam dan Iman ini.. Takkan dapat free saje kot kak/bang?
Salam ramadhan untuk semua. Usah sia-siakan 10 malam terakhir. Sesungguhnya apa yang ditaipkan disini tak lebih dari sekadar peringatan untuk diri sendiri dan semua yang dihormati.