Suara Harapan Gurumu

Assalamua'laikum dan Salam satu 'aqidah...

Anak-anak didik yang dikasihi...
Medan PMR dan SPM hanya di sudut sana. Cemerlang atau kandasnya dirimu bergantung kepada usaha dirimu sendiri. Usaha di sini bermaksud segala apa yang engkau usahakan sendiri sama ada dalam bentuk belajar, mengulang kaji, berdoa, bersolat hajat dan sebagainya. Allah memberi sifat ar-Rahman-Nya kepada semua makhluk-Nya yang berusaha dan meminta kepada-Nya, manakala sifat ar-Rahim-Nya hanya dianugerahkan kepada mereka yang beriman dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Anak-anak pejuang agama...
Andainya hari ini engkau memerlukan sesuatu yang menyenangkan di sana, maka engkau mestilah mengambil tindakan yang bijak agar memperolehnya di sana. Bayangkan kehidupan diri dan keluarga pada masa ini, dan bayangkan kehidupan ini kiranya engkau tidak menggunakan apa yang ada pada masa sekarang dengan sebaik-baiknya. Lihatlah manik-manik air yang bergenang di sisi kelopak mata ibu dan ayah kiranya engkau adalah anak yang memenuhi dan menjadikan harapan mereka suatu kesenangan hidup pada masa hadapan. Juga, cuba bayangkan aliran deras air mata mereka apaila mendengar kekecundanganmu di arena keilmuan. Bahagiakah mereka...?!! Senangkah hati mereka...?!! Bergembirakah mereka...?!!!

Anak-anak pengarang hati dan jantung ibu dan ayah...
Janganlah jadikan dirimu anak yang menjadi beban kepada ibu dan ayah ketika mereka berpulang kepada Yang Maha Bijaksana. Sanggupkah engkau melihat mereka disiksa dengan dihumbankan ke neraka-Nya akibat memiliki anak sepertimu...?!! Atau gembirakah engkau melihat mereka bersenang-lenang di dalam syurga-Nya kerana memiliki anak sepertimu yang solih dan solihah...?

Anak-anak pejuang syiar...
Berusahalah selagi terdaya; kasihilah ibu dan ayah selagi mereka ada; berbaktilah kepada mereka selagi masih ada masa; dan, bentuklah diri menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat selagi peluang masih ada.


Anak-anak harapan agama...
Jagalah engkau menyalahkan takdir kerana kealpaan dirimu sendiri; janganlah engkau salahkan takdir kerana kemalasan dirimu sendiri; dan, janganlah engkau menyalahkan takdir kerana nipisnya imanmu. Sedangkan salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah pemimpin agung umat ini berbunyi :"Ya Allah, jangan engkau biarkan aku bersendirian (dengan pertimbangan nafsu akalku saja), walau pun sekejap."

Oleh itu dengarlah senandung permintaan gurumu ini, agar sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan tanpa memikirkan sandiwara dunia yang melalaikanmu daripada merapati kemuncak kecemerlangan itu. Sesungguhnya kita adalah insan ciptaan-Nya yang amat cemerlang, sebagaimana dinukilkan-Nya di dalam al-Quran : Sesungguhnya Kami ciptakan kejadian insan itu sebaik-baik kejadian.

Kami akan menunggu di kemuncak kecemerlangan.

Pak Ngah

Posted by





SMK Agama Matang on 6:58 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

1 comments for �Suara Harapan Gurumu�

  1. Dengar cakap Pak Ngah ya... Iboh mok brolah jak..tahniah kpd semua warga Matang sebab dapat peroleh kejayaan demi kejayaan :D

    "Respect the school manager"

Leave comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Kalendar Hijrah

Lagu Badar

2010 Matang Gemilang. All Rights Reserved. - Designed by Wandy Infinity